Produk Murah| Harga Murah| Original| Borong Pukal Pemborong| Runcit| Testimoni dan Review Set

.

.
produk harga murah original testimoni online malaysia. Dikuasakan oleh Blogger.

Membaca Terjemahan Al-Quran Secara 'Cover To Cover'


Membaca al-Quran sudah sebati dengan diri kita, semenjak dari kecil lagi, ibu bapa kita telah menghantar kita untuk mengaji, dari iqra', muqaddam, sehingga al-Quran, dalam mengenal huruf, serta tajwid bacaan yang betul.

Tidak dapat dinafikan juga, al-Quran adalah mukjizat teragung Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi panduan umat Islam selagi mereka berpegang teguh dengannya.

Bukan itu sahaja, umat Islam mempunyai kewajipan terhadap al-quran, dan harus menunaikannya, iaitu, hak untuk membaca & bertilawah kepadanya, hak untuk bertakbir atau memahaminya & menjiwainya, serta hak untuk beramal dengan seluruh isi kandunganya.

Menerusi perkongsian dari laman Warga Prihatin, yang menjadikan kefahaman dan penghayatan al-Quran dan hadis sebagai asas rawatan akhlak, serta membaca amalan terjemahan al-Quran menjadi polisi untuk mereka.

Mari kita ikuti perkongsian dari laman tersebut.

Gambar Hiasan

BAGAIMANA ALQURAN BERGUNA MERAWAT MASALAH AKHLAK, TERMASUK KETAGIHAN DADAH?

Di Rumah Pengasih Warga Prihatin, kami jadikan kefahaman dan penghayatan alQuran dan hadis sebagai asas rawatan akhlak. Telah sekian lama menjadi polisi kami amalan membaca terjemahan Al-Quran secara 'cover to cover' dengan sekurang-kurangnya 3 kali ulangan. Polisi ini merangkumi kesemua warga tidak kira samada anak-anak mahupun murobbi dan murobbiahnya.

Tujuan utama amalan ini adalah untuk setiap warga yang ingin menjalani hidup berpandukan alQuran dan sunnah itu benar-benar tahu apa sahaja kandungan alQuran itu sendiri. Dengan ulangan bacaan itu akan membuatkan kita mahir apakah isu yang Allah nukilkan dalam alQuran. Dari situ juga akan terbit minat untuk memahami lebih mendalam agar kita mampu mengambil pelajarannya dengan lebih tepat.

Dari minat itu juga akan menambah minat kita untuk mempelajari ilmu tajwid, taranum bahkan nahu bahasa Arabnya juga. Malangnya ada ustaz-ustaz yang segera mengatakan pendekatan itu adalah pelik dan salah. Bahkan ada yang mengatakan ia 'sesat'. Hujjahnya ialah belajar alQuran mesti berguru. Baca sahaja lafaz Arabnya tetap dapat PAHALA walaupun kita tidak tahu maknanya, apatahlagi tidak tahu maksudnya. Ermmmmm…

Baru-baru ini kami menerima ahli keluarga baru, seorang yatim piatu yang ingin pulih dari ketagihan dadah. Polisi yang sama kami terapkan ke atas beliau. Pada mulanya, beliau kelihatan keberatan untuk melaksanakannya. Ini kerana merasakan diri beliau tidak pandai dalam memahami Al-Quran dan khuatir amalan itu bakal menjadi sia-sia sahaja.

Kami nampakkan kepada beliau bahawa sebenarnya itu bukanlah masalah yang hanya beliau alami, tetapi juga turut dialami oleh kebanyakkan umat Islam.

Al-Quran adalah panduan, dan panduan adalah untuk diikuti bagi memastikan sesuatu yang dilakukan itu berada di landasan yang betul dan hujungnya ialah beroleh kejayaan. Tetapi untuk memastikan panduan itu dapat diikuti, ia perlulah difahami dengan sejelas-jelasnya. Tanpa kefahaman yang jelas, pastinya kita akan tersasar daripada landasan yang betul dan sudah tentu mustahil untuk kita memperolehi kejayaan.


PROSES PEMAHAMAN DAN PENJABARAN AL-QURAN MELALUI ASBAB
Kesukaran memahami alQuran ada kaitannya dengan jenis-jenis ayat yang ada di dalam Al-Quran itu sendiri. Ada ayat-ayat muhkamat dan ayat-ayat mutasyabihat (Surah Ali-Imran, ayat 7).

Bagi ayat-ayat muhkamat, tiada masalah untuk difahami kerana penjelasan ayat-ayatnya adalah 'straightforward'. Namun yang menjadi masalah ialah ayat-ayat yang jatuh dalam kategori mutasyabihat. Melalui pembacaan semata-mata adalah hampir mustahil untuk difahami strategi atau pelajaran yang cuba disampaikan di dalam ayat-ayat tersebut.

Oleh itu, di Prihatin, selain daripada melalui proses pembacaan, kami juga menggunakan proses asbab dalam kehidupan seharian dalam cuba memahami ayat-ayat Al-Quran. Seboleh-bolehnya kami akan cuba mengkaji keterkaitan peristiwa-peristiwa yang berlaku di persekitaran atau di sepanjang kehidupan kami sendiri dengan mana-mana ayat yang dinukilkan di dalam Al-Quran.

Sesungguhnya, Al-Quran diturunkan untuk kita jadikan panduan sepanjang zaman dalam pelaksanaan hidup kita di muka bumi ini. Maka kami yakin, apa sekalipun isu atau masalah yang dihadapi di dunia ini, pasti penjelasan dan penyelesaiannya ada dalam setiap ayat-ayat yang diturunkan itu.

Proses memahami ayat-ayat Al-Quran berpandukan asbab perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian amat memerlukan kita 'familiarize' dengan nukilan ayat-ayat itu terlebih dahulu.

Itulah sebabnya amalan membaca terjemahan Al-Quran dari 'cover to cover' amat dititikberatkan di RPWP. Apabila isikandung alQuran itu sudah biasa kita baca, maka mudah kita mengaitkannya dengan sesuatu asbab peristiwa, atau sewaktu berhadapan dengan sebarang masalah hidup. Pastinya kita akan teringat seolah-olah terdapat situasi yang serupa pernah dinukilkan di dalam Al-Quran, dan pastinya penyelesaiannya juga terkandung dalam ayat yang sama.

Sebenarnya RPWP menerapkan konsep 'reverse engineering'. Buku panduannya telah pun ada, tetapi kefahaman terhadap teori itu masih belum dicapai. Namun, apabila kita terus berjalan, melaksanakan praktikalnya, sampai satu masa kita akan diberikan kefahaman yang jelas terhadap teori yang telah dibaca di dalam panduan yang dibekalkan itu.

Tanpa pelaksanaan dalam cuba memahami isi kandungan Al-Quran, pastinya kita hanya mampu bersangka-sangka sahaja. Sedangkan prasangka itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran (Surah 10 Yunus/36, Al-An'am 6/116). Bukan sahaja tidak berguna, tetapi juga cenderung membawa kita ke arah kesesatan, NAUZUBILLAHIMINZAALIK. Semoga kita dijauhkan daripada perkara yang sedemikian.

Cubalah baca terjemahan alQuran berulang-ulang kali. Kelak kita akan dapati ianya sangat MENARIK dan amat tinggi nilai ilmunya. Amalan itu juga akan membuatkan minda kita sentiasa menzikirkannya dan suka mengaitkan segala kejadian alam ini dengannya.

Dengan amalan itu insyaAllah banyak masalah kehidupan akhir zaman ini boleh diselesaikan dengan pelajaran darinya. Dari situ jugalah pedoman diambil oleh baginda Rasulullah SAW untuk melakar sunnah buat pedoman kita.

Bagaimana mungkin kita boleh hidup berpandukan alQuran dan as-Sunnah jika kita sendiri tidak 'terbiasa' untuk mengetahui apakah isikandung yang 'tertulis' di dalamnya?

Semuga bermanfaat,
0 Komentar untuk "Membaca Terjemahan Al-Quran Secara 'Cover To Cover'"

Back To Top